TALLAHASSEE: Seorang wanita Florida yang bertindak mengunci teman lelakinya di dalam beg pakaian dan meninggalkannya sehingga mati, didapati bersalah atas tuduhan membunuh, menurut pendakwa raya.
Menurut Utusan Malaysia, Sarah Boone, 47, memberitahu pendakwa raya, dia sedang minum wain bersama teman lelakinya, Jorge Torres Jr., 42, di rumah mereka di Winter Park pada Februari 2020 apabila mangsa secara sukarela memasukkan dirinya ke dalam beg pakaian biru semasa bermain sorok-sorok.
Torres Jr. kemudian dilaporkan mati lemas selepas Boone menutup zip beg tersebut dan meninggalkannya semalaman.
Semasa perbicaraan, Boone berkata, dia tidak berniat untuk membunuh Torres, tetapi mengakui didera oleh teman lelakinya pada masa lalu dan hanya cuba untuk mempertahankan dirinya.
Boone berkata, dia menyangka Torres Jr. dapat keluar sendiri dari beg pakaian itu, justeru meninggalkan lelaki itu dan naik ke tingkat atas untuk tidur.
Apabila bangun keesokan harinya, Boone mendapati teman lelakinya tidak bertindak balas dari dalam beg itu lalu menghubungi polis.
Pendakwa raya berkata, dakwaannya bercanggah dengan bukti video yang menunjukkan Boone mengejek mangsa ketika lelaki itu meminta dilepaskan dari beg berkenaan.
Menurut afidavit penangkapan, Boone merakam dua video Torres berulang kali mengadu tidak boleh bernafas dan meminta untuk dilepaskan.
“Boone menjawab rayuan itu, mengatakan ‘itu urusan kamu’ dan ada ketika berkata, ‘itulah yang awak lakukan apabila awak mencekik saya’,” jelas dokumen mahkamah dipetik The New York Times.
Bedah siasat mendapati mayat mangsa mempunyai kecederaan lain di belakang, kepala dan muka tetapi Boone menafikan berlaku pertengkaran antara mereka.


































