Dr. Joachim (tengah), Malianah (depan dua dari kiri) dan Dr. Christoper (depan dua dari kanan) melaungkan laungan bersatu bersama perwakilan Pemuda dan Wanita dalam persidangan itu.
KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru perwakilan Pemuda dan Wanita PBS untuk menyokong sepenuhnya kerjasama yang terjalin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda kali ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA hari ini, beliau juga meminta semua perwakilan bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang.
Dr. Joachim menyatakan bahawa meskipun PBS adalah parti tertua di Sabah dengan pengalaman selama 39 tahun dalam politik, ahli parti perlu terus belajar daripada pemimpin terdahulu yang setia dengan perjuangan PBS.
“Oleh itu, Pemuda dan Wanita memainkan peranan penting untuk menjelaskan serta meneruskan perjuangan PBS,” katanya.
Dr. Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama Malianah (tengah) dan Dr. Christoper (kanan) bersama dengan perwakilan Pemuda dan Wanita dalam upacara paluan gong.
Beliau turut menekankan kepentingan persediaan untuk menghadapi PRN tahun hadapan. “Kita harus bersedia mulai sekarang, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dimenangi PBS, untuk memastikan relevansi perjuangan kita bagi rakyat Sabah,” katanya.
Di kawasan yang belum mempunyai wakil rakyat, beliau mencadangkan agar calon yang sesuai dikenal pasti lebih awal.
“Berikan sokongan penuh kepada sesiapa yang bakal menjadi calon GRS,” katanya sambil menegaskan bahawa kerjasama komponen dalam GRS adalah faktor penting untuk mencapai kemenangan.
Beliau yakin sekiranya semua komponen GRS bekerjasama erat, mereka berpeluang memenangi lebih daripada dua pertiga kerusi yang dipertandingkan.
“Tetapi kejayaan ini memerlukan kerjasama bukan sahaja dalam PBS, malah di seluruh GRS. Kita tiada halangan berkerjasama dengan mana- mana parti termasuk dari semenanjung namun Parti lokal yang sepatutnya menjadi dominan untuk memerintah Sabah. Parti lokal adalah parti yang memahami keinginan rakyat di negeri ini,” tegasnya. Ini, menurutnya, adalah untuk memastikan Sabah tidak terpengaruh oleh kuasa luar, dan terus menikmati kemajuan.
Dr. Joachim (tengah) bergambar bersama dengan semua yang hadir dalam Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita kali ke -39.
Beliau juga menyatakan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) bertujuan mengukuhkan kedudukan GRS. “Jika kita bersatu, GRS pasti memperoleh kemenangan,” jelasnya.
Menjawab desas-desus bahawa PBS-STARSABAH mungkin bekerjasama dengan pihak lawan atau bertanding sendirian pada PRN nanti, Dr. Joachim menafikan khabar angin tersebut dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan berlaku.
Beliau turut berharap persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita akan berjalan dengan lancar, dan membuka ruang untuk bertukar fikiran serta membawa usul-usul ke Kongres PBS Ke-39 esok.
Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kehadiran wakil-wakil daripada komponen GRS seperti STARSABAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) dalam majlis tersebut.
Turut hadir, Timbalan – timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim; Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai; Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki; Bendahari PBS, Datuk Lu Kim Yen; Naib-naib Presiden, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT), Ketua Pergerakan Pemuda, Dr. Christoper Mandut dan Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Malianah Ugau.