Gambar Hiasan
LONDON: Sekumpulan doktor memulakan percubaan vaksin pertama di dunia terhadap norovirus, dengan harapan vaksin ini dapat membawa manfaat besar dari segi kesihatan dan ekonomi.
Norovirus menyebabkan muntah dan cirit-birit, dan boleh merebak dengan cepat di antara individu yang berada dalam kontak rapat, dengan wabak sering berlaku di hospital, rumah jagaan, sekolah, dan tadika.
Menurut Utusan Malaysia, Pengkaji Utama percubaan di UK, Dr. Patrick Moore berkata, pada masa ini tiada vaksin yang diluluskan untuk norovirus di dunia, menyebabkan mereka yang jatuh sakit teruk hanya diberikan cecair intravena.
“Di UK, norovirus dianggarkan menyebabkan kerugian sekitar RM 564 juta setahun kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan jika mengambil kira kehilangan pendapatan, jumlahnya sekitar RM1 bilion,” kata Moore.
Dikenali sebagai Nova 301, percubaan klinikal fasa 3 ini akan berlangsung selama dua tahun dan akan melibatkan 25,000 orang dewasa, dengan fokus kepada individu berumur lebih 60 tahun, dari negara-negara seperti Jepun, Kanada, dan Australia.
Kajian ini adalah sebahagian daripada Perkongsian Strategik Moderna-UK selama 10 tahun dan melibatkan kerjasama antara Institut Penyelidikan Kesihatan dan Penjagaan Nasional (NIHR), Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Sosial (DHSC), Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), dan syarikat farmaseutikal Moderna, yang menghasilkan vaksin tersebut.
Dalam percubaan ini, separuh daripada peserta akan secara rawak menerima vaksin baharu, sementara separuh lagi akan menerima suntikan salin sebagai plasebo.
Vaksin norovirus ini berasaskan teknologi mRNA iaitu pendekatan yang digunakan oleh syarikat seperti Moderna dan Pfizer/BioNTech dalam pembangunan vaksin Covid mereka.
Walaupun percubaan awal vaksin ini menunjukkan ia menghasilkan tindak balas imun yang kuat dalam manusia, namun ia bertujuan untuk mengkaji sama ada vaksin ini berkesan terhadap virus itu sendiri dan berapa lama tempoh perlindungan yang diberikan.
Sekiranya vaksin norovirus ini terbukti berjaya, syarikat merancang untuk mengemukakan permohonan pemasaran kepada pengawal selia pada 2026, dengan proses semakan dijangka mengambil masa hingga setahun.


































