WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) memberi amaran pemberian AS$1 juta (RM4.35 juta) setiap hari kepada pengundi berdaftar yang dilakukan jutawan, Elon Musk dikhuatiri melanggar undang-undang Persekutuan, lapor media.
Menurut Utusan Malaysia, Musk yang juga individu terkaya di dunia mengumumkan pertandingan itu pada Sabtu lalu di Pennsylvania, salah satu daripada tujuh negeri swing state yang akan menentukan siapa bakal Presiden AS seterusnya.
Beliau yang menyokong calon Demokrat, Donald Trump, mengumumkan rancangan untuk memberikan hadiah wang tunai tersebut kepada seorang pengundi berdaftar di tujuh negeri tersebut setiap hari sehingga pilihan raya AS pada 5 November ini.
Pemenang peraduan dipilih secara rawak tetapi mereka mestilah pengundi berdaftar.
Pengundi yang ingin memenangi wang tunai itu juga dikehendaki menandatangani petisyen American PAC yang menyokong kebebasan bersuara dan hak untuk mengangkat senjata.
Saluran CNN dan 24sight News melaporkan, surat daripada Jabatan Kehakiman kepada jawatankuasa tindakan politik Musk memberi amaran bahawa tindakan itu mungkin melanggar undang-undang Persekutuan, yang melarang membayar individu untuk menggalakkan mereka mendaftar sebagai pengundi.
Pakar Undang-Undang Pilihan Raya, di Sekolah Undang-Undang Georgetown, Danielle Lang memberitahu AFP awal minggu ini, pertandingan itu mungkin tertakluk kepada penguatkuasaan sivil atau jenayah oleh Jabatan Kehakiman.
“Adalah menyalahi undang-undang untuk memberikan wang dengan syarat penerima mendaftar sebagai pemilih.
“Memandangkan syarat untuk memenangi AS$1 juta (RM4.35 juta) memerlukan penerima menjadi pengundi berdaftar di salah satu daripada tujuh negeri penentu, tawaran itu jelas melanggar undang-undang Persekutuan,” katanya.
































