Donald Trump dan Kamala Harris
WASHINGTON: Berbaki dua minggu lagi menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), menyaksikan pertembungan sengit antara calon Demokrat, Kamala Harris dan pesaingnya dari Republikan, Donald Trump untuk meraih undi di negeri-negeri penting yang akan mempengaruhi keputusan akhir.
Menurut Utusan Malaysia, Isnin lalu, Harris melawat ketiga-tiga negeri ‘tembok biru’ – Pennsylvania, Michigan dan Wisconsin – yang secara tradisinya menyokong parti tersebut dan menjadi kunci kepada kemenangan dua Presiden Demokrat sebelum ini.
Sementara itu, Trump pula melawat Asheville, North Carolina, kerana bimbang kerosakan akibat Taufan Helene baru-baru ini boleh menjejaskan kehadiran pengundi dalam pilihan raya yang semakin sengit.
KEDUDUKAN MASIH SEIMBANG
Menurut tinjauan terbaharu pengundi yang diterbitkan oleh The Washington Post, Trump dan Harris berada dalam kedudukan yang seimbang di tujuh negeri, namun berpotensi berubah yang boleh memihak kepada mana-mana calon.
Tinjauan yang melibatkan lebih 5,000 pengundi berdaftar pada separuh pertama Oktober, menunjukkan 47 peratus mungkin menyokong Harris dan Trump.
Dalam kalangan pengundi atas pagar, 49 peratus menyokong Harris berbanding 48 peratus untuk Trump.
Tinjauan ini dibuat apabila purata sokongan untuk Trump lebih sedikit daripada Harris dalam pengiraan laman web FiveThirtyEight, walaupun perbezaannya sangat kecil sehingga dianggap seri.
Setakat 21 Oktober lalu, Harris mendahului dalam tinjauan nasional dan mempunyai kelebihan 1.8 mata peratusan berbanding Trump, menurut penjejak undian pilihan raya harian, FiveThirtyEight.
Namun, di negeri-negeri penting seperti Pennsylvania, Michigan, Wisconsin dan Nevada – yang mempunyai sejumlah 51 undi dalam Kolej Pilihan Raya – kedua-dua calon berada dalam kedudukan yang hampir seimbang, dengan kurang daripada setengah peratus memisahkan mereka.
Jika Trump atau Harris memenangi empat negeri ini, mereka secara tidak langsung dijamin untuk menjadi Presiden AS yang baharu.
PRESIDEN WANITA PERTAMA
Harris yang juga Naib Presiden AS memaklumkan dirinya kini bersedia menghadapi kemungkinan Trump mengisytiharkan kemenangan sebelum semua undi dikira dalam pilihan raya bulan depan.
“Kita ada dua minggu lagi, dan saya sangat fokus pada tugas yang sedang digalas.
“Kami akan menangani malam pilihan raya dan hari berikutnya apabila ia tiba, dan kita mempunyai sumber serta kepakaran untuk itu,” katanya.
Harris berkata demikian sebagai respons mengenai rancangannya jika Trump mengisytiharkan kemenangan lebih awal semasa temubual dengan NBC News, kelmarin.
Beliau percaya, Amerika sudah bersedia untuk memilih Presiden wanita yang pertama, dengan membawa transformasi lebih segar kepada negara kuasa besar itu.
“Orang ramai sudah letih dengan Donald Trump dan pendekatannya, kerana ia hanyalah mengenai diri beliau sendiri,” kata Harris.
Pengundian awal sedang berlangsung di hampir setiap negeri di seluruh negara, hanya 14 hari sebelum pilihan raya pada 5 November depan.
Sekitar 18 juta rakyat Amerika sudah pun mengundi secara pos atau secara langsung di lokasi pengundian – mewakili lebih 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun 2020.
































