MANILA: Banjir besar dan tanah runtuh akibat Ribut Tropika Trami di timur laut Filipina menyebabkan sekurang-kurangnya 26 orang terkorban.
Menurut Utusan Malaysia, banjir besar menghanyutkan kereta dan mendorong pihak berkuasa bergegas mendapatkan bot bermotor untuk menyelamatkan penduduk kampung yang terperangkap dengan ramai berada di atas bumbung rumah.
“Mereka meminta bantuan melalui hantaran di Facebook dan begitulah cara kami mengetahui mengenai mereka,” kata jurucakap polis Bicol, Luisa Calubaquib.
Kerajaan menutup sekolah dan pejabat untuk hari kedua di seluruh pulau utama Luzon bagi melindungi berjuta-juta penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu.
Ketua Polis Wilayah, Brigedier Jeneral Andre Dizon memberitahu pemberita, kebanyakan mangsa maut mati lemas atau tertimbus dalam tanah runtuh.
Menurut pejabat kesihatan wilayah, sebuah hospital di bandar Batangas Lemery, kira-kira 97 kilometer di selatan Manila terpaksa menolak pesakit kerana wad dan bilik kecemasannya dinaiki air.
Penyelamat terus mencari seorang nelayan yang hilang selepas sebuah bot karam di perairan luar wilayah Bulacan, barat Manila.
Menurut Ketua Polis tempatan, Erwin Rebellion, seramai 11 orang dilaporkan lemas dalam banjir di bandar Naga di wilayah Bicol.
Di wilayah Quezon, seorang wanita warga emas mati lemas, manakala seorang kanak-kanak juga terbunuh selepas jatuh ke dalam terusan yang banjir.
Pejabat pertahanan awam Manila melaporkan seorang mangsa maut akibat dihempap dahan pokok yang jatuh.


































