NEW YORK: Para pengguna di platform media sosial X akan dapat melihat siaran daripada pengguna yang telah menyekat mereka, namun tidak akan dibenarkan berinteraksi dengan siaran tersebut, seperti menyukai, membalas, atau menyebarkan semula, menurut pengumuman pada Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, X dalam kenyataan daripada akaun rasminya memaklumkan, jika siaran pengguna ditetapkan kepada awam, maka akaun yang telah disekat masih boleh melihatnya, namun tidak akan dapat berinteraksi.
Kenyataan itu juga menjelaskan pada masa ini, sistem block boleh digunakan oleh pengguna X untuk berkongsi dan menyembunyikan maklumat berbahaya atau peribadi tentang mereka yang disekat.
“Pengguna akan dapat melihat jika kelakuan sedemikian berlaku sekaligus membolehkan ketelusan yang lebih besar,” tambah kenyataan itu.
Bagi pengguna yang bimbang tentang siapa yang mungkin melihat siaran mereka dinasihatkan untuk menyembunyikan akaun mereka sepenuhnya.
Bagaimanapun, beberapa pengguna mengeluh perubahan yang diumumkan oleh X mungkin melanggar syarat dan peraturan App Store serta Google Play.
Antara syarat yang dikenakan oleh platform tersebut adalah keperluan agar aplikasi media sosial menyediakan pengguna pilihan untuk menapis gangguan atau buli.
Namun, kedua-dua platform tersebut belum mengeluarkan sebarang komen berhubung isu ini.
Pada tahun 2013, ketika platform ini masih dikenali sebagai Twitter, dasar yang serupa telah dicuba, di mana pengguna yang disekat diberi peluang untuk melihat dan berinteraksi dengan siaran orang lain.
Namun, dasar tersebut ditarik balik dalam masa beberapa jam selepas mendapat reaksi negatif daripada pengguna.


































