Presiden AS, Joe Biden bercakap mengenai pelepasan hutang pinjaman pelajar di Kolej Teknikal Kawasan Madison di Madison, Wisconsin, pada 8 April lepas.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan tambahan AS$4.5 bilion (RM21.02 bilion) pemansuhan hutang pelajar melibatkan lebih 60,000 pekerja perkhidmatan awam.
Menurut Utusan Malaysia, pembatalan itu adalah usaha terbaharu Biden untuk memenuhi janji kempen 2020 bagi memberikan pelepasan hutang kepada jutaan rakyat AS sebelum beliau melepaskan jawatan pada Januari, walaupun usahanya menghadapi halangan di mahkamah.
Calon presiden untuk Demokrat, Kamala Harris berkata, beliau akan terus menangani kos pendidikan jika dipilih pada 5 November ini, termasuk memberikan bantuan kepada mereka yang menggunakan pinjaman pelajar Persekutuan.
“Walaupun Republikan melakukan apa sahaja untuk menyekat berjuta-juta pengundi mereka sendiri daripada menerima bantuan ekonomi yang sangat diperlukan ini.
“Saya akan meneruskan usaha menurunkan kos untuk menjadikan pendidikan tinggi lebih mampu milik dan mengurangkan beban hutang pelajar,” kata Harris dalam satu kenyataan.
Pengumuman terbaharu itu menjadikan jumlah bantuan pinjaman pelajar yang diluluskan oleh pentadbiran Biden-Harris kepada AS$175 bilion (RM817.25 bilion) untuk hampir lima juta peminjam, kata White House dalam satu kenyataan.
Pentadbiran itu menyifatkan sistem pinjaman pelajar tidak berfungsi dan menegaskan bantuan hutang diperlukan supaya peminjam tidak terbeban secara kewangan akibat keputusan mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.
Harris menumpukan kempen pilihan raya dengan sebahagian besarnya melibatkan pelan ekonomi yang bertujuan menurunkan kos sara hidup rakyat Amerika kelas pertengahan dan rendah serta meningkatkan ekonomi secara keseluruhan.
Manakala, pesaing Harris daripada Republikan, Donald Trump menumpukan kepada tarif dan potongan cukai.
Republikan menyifatkan pendekatan Biden menghapuskan hutang pelajar sebagai penyalahgunaan kuasa dan manfaat tidak adil kepada peminjam berpendidikan tinggi, sedangkan golongan lain tidak menerima pelepasan sedemikian.


































