BANGKOK: Polis Thailand menahan 18 individu, termasuk tiga selebriti dan merampas wang bernilai jutaan baht serta kereta sport mewah berikutan kes penipuan melibatkan skim piramid menjual makanan tambahan kesihatan.
Menurut Utusan Malaysia, penangkapan itu dibuat selepas lebih 1,000 orang memfailkan dakwaan penipuan dalam talian terhadap iCon Group yang memikat mereka untuk membeli produk kesihatan dan membuat komitmen kewangan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Warathaphon Waratyaworrakul atau dikenali sebagai ‘Boss Paul’ ditahan pada Rabu.
Seorang pengacara terkemuka dan seorang pelakon turut didakwa kerana membantu meyakinkan mangsa untuk menyertai skim tersebut.
Menurut Ketua Polis Thailand, Kitrat Phanphet, mereka telah membekukan 125 juta baht (RM16.2 juta) yang disimpan dalam akaun bank empat eksekutif syarikat itu.
Polis turut merampas kenderaan mewah termasuk Porsche dan Ford Mustang.
Polis sedang meneliti akaun bank dan pemindahan wang tunai yang dikaitkan dengan suspek untuk mengetahui sama ada individu lain terlibat.
Syarikat itu didakwa memikat mangsanya dengan menawarkan kursus murah jualan dalam talian.
Sebaik sahaja mendaftar, mangsa dipaksa membuat pembelian lanjut dan komitmen kewangan sehingga 250,000 baht (RM32,435) yang digunakan untuk mengiklankan rekrut baharu.

































