Gambar Hiasan
JAKARTA: Kisah seorang ibu di negara jiran Indonesia yang mendedahkan anaknya diberikan ubat gemuk oleh pengasuh, menjadi tular di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, dalam hantaran minggu lalu, pemilik akaun @linggra.k mendedahkan pengasuh anaknya memberikan bayi itu ubat gemuk sejak setahun lalu.
Beliau yang turut memuat naik gambar pelaku mendakwa, anaknya yang kini berusia dua tahun terlantar di hospital.
Menerusi hantaran sama, wanita terbabit memuat naik gambar dadah berwarna biru dan oren dikenalpasti sebagai Dexamethasone serta Pronicy yang disimpan oleh pelaku.
Beliau menjelaskan bahawa dadah penggemuk itu dijual secara bebas di pasaran.
Pemilik akaun terbabit sengaja memuat naik kisah itu supaya menjadi pengajaran kepada ibu lain untuk berwaspada dengan pengasuh kanak-kanak.
“Pemberian ubat gemuk (penambah selera makan) yang ternyata setelah diperiksa adalah dexamethasone dan pronicy… Ini antara ubat untuk orang dewasa, tetapi diberikan kepada bayi seawal setahun, bayangkan.
“Kesannya, hormon anak menurun… walaupun anak tak boleh hasilkan hormon kortisol (hormon ini sangat penting untuk kita sebagai manusia boleh bergerak dan aktif),” katanya.
Sehingga hari ini, hantaran pemilik akaun terbabit mendapat perhatian puluhan ribu pengguna media sosial.
Pengarah Siasatan Jenayah Umum Jawa Timur, Kombes Farman mengesahkan pihaknya menerima laporan kes dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
Beberapa hari lalu, pemilik akaun terbabit turut memaklumkan pengasuh tersebut sudah ditangkap.


































