But yang masih melekat pada cebisan kaki milik pendaki Andrew Irvine ditemukan di Gunung Everest.
KATHMANDU: Mayat seorang lelaki yang hilang ketika cuba menawan puncak Gunung Everest 100 tahun lalu, ditemukan oleh sebuah pasukan dokumentari, National Geographic semalam.
Menurut Utusan Malaysia, pendaki warga Britain, Andrew Irvine, hilang pada tahun 1924 bersama rakannya, George Mallory, ketika pasangan itu berusaha menjadi yang pertama untuk sampai ke puncak setinggi 8,848 meter itu.
Mayat Mallory ditemui pada tahun 1999, namun petunjuk tentang nasib Irvine kekal misteri sehinggalah pasukan National Geographic menemui sepasang but yang masih melekat pada cebisan kaki di Glasier Rongbuk Tengah.
“Setelah diperiksa dengan lebih teliti, mereka menemui sehelai stokin dengan label merah yang bertuliskan A.C. Irvine,” lapor majalah itu.
Penemuan itu mungkin dapat mengesahkan Irvine dan Mallory merupakan pendaki pertama yang berjaya menakluk puncak Everest, hampir tiga dekad sebelum pendakian yang diiktiraf pada tahun 1953 oleh Edmund Hillary dan Tenzing Norgay.
Ahli keluarga Irvine dilaporkan bersedia untuk berkongsi sampel DNA bagi mengesahkan identiti mayat itu..
Irvine berusia 22 tahun ketika dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat bersama Mallory pada petang 8 Jun 1924 selepas menyambung pendakian terakhir ke puncak pada pagi itu.
Irvine dipercayai membawa kamera jenis vest dan jika ditemui, mungkin boleh menulis semula sejarah pendakian di gunung tertinggi itu.
Perubahan iklim yang menyebabkan pencairan ais di kawasan Himalaya semakin mendedahkan mayat para pendaki yang meninggal dunia ketika cuba merealisasikan impian mereka untuk menakluk puncak Everest.
Sejak ekspedisi pendakian bermula pada tahun 1920-an, lebih 300 orang meninggal dunia, sebahagiannya tersembunyi di bawah timbunan salji atau ditelan oleh rekahan yang dalam.
































