LOS ANGELES: Tesla memperkenalkan robotaxi yang telah lama dijanjikan dalam satu acara di Hollywood, sambil memberikan kemas kini kepada pelabur mengenai projek kecerdasan buatan (AI) yang dipercayai akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan jangka panjang pengeluar kenderaan elektrik (EV) itu.
Bagaimanapun, pelabur dan penganalisis turut mengingatkan tentang cabaran teknologi dan menurunkan jangkaan terhadap apa yang akan diumumkan.
Menurut Utusan Malaysia, Musk merancang untuk mengendalikan armada teksi Tesla tanpa pemandu dipanggil Cybercabs, yang boleh ditempah oleh penumpang melalui aplikasi.
Tumpuan juga akan diberikan kepada kemajuan yang dicapai oleh syarikat dalam pembangunan perisian separa automasi yang dikenali sebagai Full Self-Driving (FSD), yang dijangka menjadi asas kepada robotaxi Tesla.
Pada tahun 2019, Musk pernah menyatakan keyakinannya Tesla akan mempunyai robotaxi beroperasi seawal tahun berikutnya.
Namun, pada tahun ini beliau mengalihkan fokusnya kepada pembangunan kenderaan tersebut dan membatalkan rancangan untuk menghasilkan kereta yang lebih kecil dan murah yang dilihat penting untuk menangani permintaan EV yang semakin perlahan.
Tesla berdepan risiko penurunan penghantaran kenderaan buat kali pertama tahun ini setelah insentif pembelian gagal menarik pelanggan mencukupi bagi barisan EV yang semakin lama.
Pemotongan harga yang mendadak bagi menampung kadar faedah yang tinggi juga telah menjejaskan margin keuntungan syarikat.
Berbeza dengan syarikat lain yang menggunakan perkakasan mahal seperti lidar, Musk hanya bergantung kepada kamera dan AI untuk menjalankan FSD bagi mengurangkan kos.
Bagaimanapun, FSD yang memerlukan perhatian pemandu sepenuhnya telah berdepan pengawasan undang-undang dan peraturan berikutan sekurang-kurangnya dua kemalangan maut yang melibatkan teknologi tersebut.
































