JAKARTA: Kerajaan wilayah Jakarta akan mengenakan levi sisa sampah setiap isi rumah mulai Januari 2025 sebagai sebahagian daripada usaha menguruskan bahan buangan itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pejabat Lingkungan Hidup Jakarta, Asep Kuswanto berkata, pihaknya telah mempersiapkan dasar ini selaras dengan Peraturan Daerah Jakarta No. 1 Tahun 2024 tentang Pajak dan Retribusi Daerah.
Di bawah peraturan ini, jelasnya, levi perkhidmatan pelupusan sampah adalah berdasarkan penggunaan elektrik.
“Tidak lama lagi, setiap isi rumah akan dikenakan tarif sampah mengikut peraturan wilayah yang dikeluarkan pada 1 Januari 2024. Ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2025.
“Isi rumah yang menggunakan 450 hingga 900 volt-amp (VA) akan dikecualikan daripada levi, manakala mereka yang menggunakan 1,300 hingga 2,200 VA perlu membayar 10,000 rupiah (RM2.70) sebulan,” katanya lapor Antaranews.
Jelasnya, caj bulanan bagi mereka yang menggunakan 3,500 hingga 5,500 VA adalah 30,000 rupiah (RM8.20), dan mereka yang menggunakan lebih 6,600 VA akan dikenakan bayaran 77,000 (RM21).
“Dasar ini terpakai bukan sahaja kepada isi rumah tetapi juga kepada syarikat, kerana kawasan komersial juga mesti terlibat dalam pemprosesan sisa,” kata Kuswanto.
Selain itu, pihak pentadbiran merancang untuk mengurangkan levi bagi penduduk terpilih dan perniagaan yang menunjukkan kesedaran pengurusan sisa, seperti mereka yang terlibat secara aktif dalam bank sisa.
Melalui dasar levi ini, tegasnya, kerajaan wilayah bukan berhasrat untuk menambah beban penduduk tetapi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penjagaan alam sekitar.
Masalah sampah di Jakarta terus meningkat, dengan jumlah sisa harian mencecah 400,000 kilogram.


































