WASHINGTON: Lebih 12 negeri di Amerika Syarikat (AS) dan daerah Columbia memfailkan saman terhadap aplikasi TikTok kerana didakwa menyebabkan ketagihan dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, saman itu berpunca daripada siasatan nasional terhadap TikTok oleh gabungan dua parti peguam negara dari banyak negeri, termasuk New York, California, Kentucky dan New Jersey.
Semua aduan difailkan di mahkamah negeri, Selasa.
Peguam Negara California, Rob Bonta berkata, aplikasi itu memilih keuntungan berbanding kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan masa depan kanak-kanak.
“Ia adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima. Jadi kami memfailkan saman,” katanya dalam sidang akhbar di San Fransisco.
Saman itu menekankan ciri-ciri reka bentuk TikTok yang dikatakan menjadi punca ketagihan, seperti keupayaan untuk menatal tanpa henti, notifikasi yang disertakan dengan ‘getaran’ dan penapis wajah yang mencipta penampilan tidak realistik kepada pengguna.
Tindakan undang-undang terbaharu ini dibuat hampir setahun selepas puluhan negeri menyaman syarikat induk Instagram, Meta Platforms Inc di mahkamah negeri dan Persekutuan kerana didakwa membahayakan golongan muda serta menyumbang kepada krisis kesihatan mental belia.
Ia dikatakan sengaja merancang ciri-ciri yang mendorong ketagihan bagi memastikan kanak-kanak terus menggunakan platform tersebut.
“Menarik orang untuk terus menggunakan platform adalah cara mereka menjana pendapatan iklan yang besar.
“Malangnya, itulah juga cara mereka menghasilkan kesan negatif terhadap kesihatan mental pengguna,” kata Peguam Negara Daerah Columbia, Brian Schwalb dalam satu temu bual.
Tuntutan undang-undang ini, yang turut melibatkan YouTube milik Google, adalah sebahagian daripada kesedaran mengenai kesan syarikat media sosial terhadap kehidupan golongan muda.


































