Abidin (tengah), Dr Wong dan lain-lain menunjukkan sampah yang dikumpul semasa program itu.
RANAU: Kempen sifar beg plastik yang dilancarkan di Kota Kinabalu baru-baru ini akan diperluaskan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara beransur-ansur, kata Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abdin Madingkir.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mengurangkan kesan-kesan negative penggunaan beg plastic terhadap alam sekitar, terutama sekali kesan yang buruk kepada hidupan marin.
“Inisiatif untuk meminimumkan penggunaan beg plastic di kalangan pengguna di Bandaraya Kota Kinabalu sudah menunjukkan impak-impak positif seperti kebersihan alam sekitar.
“Sebelum ini, kesan negatif penggunaan beg plastik memberi kesan kepada hidupan laut seinggakan ada ikan paus yang mati kerana tertelan bahan-bahan plastik.
“Justeru, kita berharap usaha ini akan turut disebar luas ke daerah-daerah lain di seluruh Sabah demi menjamin persekitaran yang lebih bersih, indah dan selamat kepada semua hidupan, terutama sekali kepada generasi akan datang,” katanya.
Abdin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian pada Majlis Perasmian “One Hour Malaysia Clean Up” Peringkat Daerah Ranau di Mini Dewan Kampung Lohan 1, di sini kelmarin.
Beliau berkata, Program “One Hour Malaysia Clean Up” merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggerakkan masyarakat dan seluruh agensi yang terlibat untuk bersama-sama mengambil tindakan membersihkan tempat tinggal atau kerja serta kawasan persekitaran bagi memastikan kawasan berkenaan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.
“Selain itu, ianya juga merupakan satu usaha untuk memantapkan kerjasama dengan PBT, agensi swasta dan media dalam sama-sama membantu ke arah mewujudkan komuniti bebas denggi di negara ini,” katanya.
Abidin menegaskan, kesihatan yang baik bermula dengan persekitaran hidup yang sejahtera.
“Persekitaran sejahtera adalah persekitaran rumah dan kawasan sekeliling yang bebas daripada sampah sarap dan bekas-bekas takungan air yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Denggi tidak boleh ditangani oleh KKM sahaja, tetapi bantuan dan Kerjasama secara kolektif dan efektif terutamanya dari masyarakat setempat, agensi kerajaan lain, syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan amatlah penting bagi menjayakan agenda pencegahan denggi.
“Sehubungan dengan itu, pengisian program ini memberikan penekanan kepada beberapa aspek utama termasuk gotong-royong, kebersihan persekitaran, pemerkasaan komuniti (community engagement) yang melibatkan sukarelawan,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini Kg Lohan, Ranau telah dipilih untuk dilaksanakan program “One Hour Malaysia Clean Up” memandangkan jalinan kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat di kampung ini selain sebagai satu usaha untuk membendung penularan penyakit Denggi di lokaliti ini serta kampung-kamung yang berdekatan.
“Semoga dengan pelaksanaan program “One Hour Malaysia Clean Up” ini ianya akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat.
“Saya juga berharap agar usaha menggerakkan masyarakat untuk melaksanakan aktiviti kebersihan persekitaran secara berkala di lokasi yang terpilih akan tercapai serta mampu mengurangkan beban penyakit yang berkaitan dengan kebersihan persekitaran di daerah Ranau yang tercinta ini.”
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program gotong royong ini.
“Saya berharap aktiviti bersepadu seperti ini akan diteruskan di masa akan datang dan dilakukan secara berkala,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perubatan Pentadbir Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Dr Wong Yoke Kong, turut menekankan pentingnya kerjasama masyarakat dalam memastikan persekitaran yang bersih dan bebas nyamuk Aedes.
“Tindakan serentak dan menyeluruh di seluruh kawasan akan memberi impak pengurangan tempat pembiakan Aedes dan kes denggi secara amnya.
“Hanya persekitaran yang bebas daripada pembiakan Aedes menjamin persekitaran yang bebas daripada gigitan Aedes dan demam denggi,” katanya.
Program tersebut dijayakan oleh 55 peserta yang menjalankan aktiviti seperti gotong royong dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk (PTP) bagi mencegah pembiakan Aedes, kitar semula dan 3R untuk mempromosikan amalan kelestarian, dan juga memberi nasihat individu dan pendidikan kesihatan mengenai kebersihan dan kesihatan awam.
Turut hadir, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, ketua-ketua jabatan dari PBT, agensi kerajaan dan swasta, pemimpin-pemimpin komuniti dan NGO.