TOKYO: Seorang lelaki berusia 88 tahun yang juga banduan paling lama menunggu hukuman mati di dunia, dibebaskan oleh mahkamah Jepun, selepas bukti yang mengaitkannya dengan kes bunuh didapati palsu.
Menurut Utusan Malaysia, Iwao Hakamada menunggu hukuman mati atas kesalahan membunuh majikannya, isteri lelaki itu dan dua anak remaja mereka sejak disabitkan pada 1968.
Mahkamah Daerah Shizuoka memutuskan beliau tidak bersalah dalam perbicaraan semula yang dibuat selepas terdapat dakwaan bukti terhadap lelaki itu kemungkinan sengaja direka.
“Mahkamah mendapati defendan tidak bersalah,” kata Hakim Koshi Kunii.
Kes tersebut mendapat perhatian meluas rakyat negara ini sehingga mahkamah sesak pada Khamis, apabila kira-kira 500 orang awam hadir untuk masuk ke kamar mahkamah ketika keputusan diumumkan.
Sejurus keputusan diumumkan, penyokong Hakamada bersorak gembira di pekarangan mahkamah.
Bekas petinju itu bagaimanapun tidak hadir semasa hakim membuat keputusan, sebaliknya beliau diwakili kakaknya, Hideko, 91.
Hakamada dipenjarakan selama 46 tahun sebelum dibebaskan pada 2014 sementara menunggu perbicaraan semula.
Menurut peguamnya, Hideyo Ogawa, selepas berpuluh-puluh tahun hidup bersendirian di penjara, Hakamada kadangkala kelihatan seperti hidup dalam dunia fantasi.
Jepun adalah satu-satunya negara selain Amerika Syarikat (AS) yang mengekalkan hukuman mati, manakala Hakamada ialah banduan hukuman mati kelima yang diberikan perbicaraan semula dalam sejarah Jepun selepas perang.
Kesemua empat kes sebelum ini juga berakhir dengan pembebasan tertuduh.


































