Perubahan polisi umur persaraan akan dilaksanakan secara berperingkat selama 15 tahun.- Gambar Hiasan
HONG KONG: Langkah China untuk menaikkan usia persaraan bermula tahun depan tidak dapat menyelesaikan masalah defisit dana pencen yang dihadapi negara ini pada tahun 2035.
Menurut Utusan Malaysia, pakar ekonomi institusi kewangan global Natixis di Asia Pasifik, Alicia Garcia Herrero berkata, rancangan itu sebaliknya hanya titik permulaan untuk menampung defisit pencen yang besar ketika China terus berdepan banyak cabaran lain.
“Cabaran demografi di China diburukkan dengan polisi satu anak yang dilaksanakan di negara ini selama tiga dekad,” katanya kepada Reuters.
Jelas Herrero, ia mengakibatkan jumlah kelahiran di China jatuh kepada sembilan juta tahun lalu, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan populasi kerja di China akan menurun hampir 40 peratus menjelang 2050 berbanding 2010 jika kadar kesuburan kekal pada paras semasa.
Katanya, pekerja dari pelbagai peringkat umur telah menyuarakan kebimbangan tentang perubahan itu, sementara pembuat dasar bergelut dengan ketidaksamaan antara jumlah pencen luar bandar dan bandar serta kadar pengangguran belia yang tinggi.
“China perlu menyelesaikan masalah pencen sekarang sementara masih berupaya membiayai defisit,” ujar beliau.
Kadar pertumbuhan ekonomi China direkod perlahan dari sekitar 8 peratus pada awal 2000-an kepada sekitar 5 peratus kini dan boleh jatuh serendah 1 peratus selepas 2035.
Menyedari kebimbangan awam, Beijing segera menaikkan umur persaraan tengah bulan ini, mengubah usia pencen yang ditetapkan pada tahun 1950-an.
Jangka hayat di China telah meningkat kepada 78 tahun pada 2021 berbanding sekitar 44 tahun pada 1960 dan dijangka melebihi 80 tahun menjelang 2050.
































