WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap penyedia perkhidmatan kewangan terkemuka, Visa kerana memonopoli pasaran kad debit dan mengenakan bayaran yang tinggi serta menyekat persaingan.
Menurut Utusan Malaysia, tuntutan sivil itu, difailkan di Mahkamah Daerah AS untuk Selatan New York semalam, menuduh Visa melanggar Seksyen 1 dan 2 Akta Sherman kerana lebih 60 transaksi debit di AS dijalankan di rangkaian debit Visa.
Visa mengenakan bayaran lebih daripada AS$7 bilion (RM28.9 bilion) setiap tahun untuk memproses transaksi tersebut.
Peguam Negara, Merrick Garland berkata, Visa didakwa menggunakan kuasa secara tidak sah untuk mengenakan bayaran melebihi ketetapan dalam pasaran yang kompetitif.
“Peniaga dan bank akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna, sama ada dengan menaikkan harga atau mengurangkan kualiti atau perkhidmatan.
“Akibatnya, tindakan Visa bukan sahaja mempengaruhi harga sesuatu perkara, tetapi menjejaskan hampir kesemuanya,” kata Garland.
Jabatan itu berkata, saman yang difailkan pada Selasa adalah untuk memulihkan persaingan dan memberi manfaat kepada masyarakat Amerika.
Visa, yang berpangkalan di San Fransisco, mempunyai pendapatan operasi global sebanyak AS$18.8 bilion (RM77.8 bilion) , menurut tuntutan mahkamah.
Ia mengenakan sekitar AS$8 bilion dalam yuran rangkaian pada volum debit AS setiap tahun, manakala di peringkat global, Visa memproses AS$12.3 trilion (RM50.9 trilion) dalam jumlah pembayaran keseluruhan.
Ini bukan kali pertama Visa menghadapi tindakan undang-undang oleh kerajaan AS.
Empat tahun lalu, Jabatan Kehakiman memfailkan saman untuk menghalang Visa mengambil alih syarikat fintech, Plaid.
Tuntutan itu mendakwa pembelian Visa yang bernilai AS$5.3 bilion (RM21.9 bilion) adalah langkah strategik untuk menghalang Plaid daripada menjejaskan perniagaan kad debitnya.
































