FLORIDA: Seorang pengguna jalan raya terkejut selepas melihat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ‘terletak’ elok di atas sebuah tong sampah pukal di sini, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Scott Greenberg tidak melepaskan peluang lalu merakam insiden berkenaan ketika sedang dalam perjalanan ke kedai di East Point Drive, Fort Myers.
“Saya terpaksa melihat dua kali. Saya turut mesej kawan saya untuk bertanya pendapatnya, adakah SUV itu boleh diambil? Adakah ia percuma kerana berada di dalam tong sampah,” kata Greenberg ketika diwawancara agensi berita WBBH-TV.
Setelah diperiksa, SUV tersebut rupa-rupanya diangkat ke atas tong sampah itu oleh forklift yang dikendalikan seorang pekerja pembinaan yang membina sebuah kompleks pangsapuri baharu berhampiran.
Menurut pekerja pembinaan itu, kenderaan berkenaan diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.
“Kadang-kadang apabila anda parkir di tempat yang tidak sepatutnya, inilah yang berlaku,” katanya.
Kenderaan tersebut kemudian dikeluarkan dari tong sampah dan dipindahkan ke ruang parkir yang jauh dari kawasan pembinaan terbabit.
Pekerja pembinaan itu memberitahu, SUV tersebut milik seorang kontraktor yang meminjamkannya kepada pekerja dari luar bandar yang memerlukan pengangkutan.


































