Pengeluaran berskala besar Tesla Semi hanya akan dibuat pada akhir tahun depan.
CALIFORNIA: Pasukan bomba terpaksa menggunakan kira-kira 190,000 liter air untuk memadamkan kebakaran sebuah trak elektrik Tesla Semi, selepas kenderaan itu terlibat dalam satu kemalangan bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) memaklumkan, bomba California juga terpaksa menggunakan pesawat untuk menyemburkan bahan kimia bagi menghalang api merebak ke kawasan sekitar sebagai langkah berjaga-jaga.
Jelas NTSB, kemalangan melibatkan Tesla Semi itu berlaku pada awal pagi 19 Ogos lalu, ketika kenderaan tersebut sedang dalam perjalanan dari Livermore, California ke sebuah fasiliti Tesla di Sparks, Nevada.
Bagaimanapun, ia tiba-tiba terbabas semasa melalui selekoh dan melanggar sebatang pokok berhampiran Emigrant Gap di California.
Pemandunya yang juga seorang pekerja Tesla tidak mengalami kecederaan.
“Kebakaran berpunca daripada bateri lithium-ion kenderaan itu, menyebabkan sebanyak 190,000 liter air perlu digunakan untuk memadamkan api,” jelas NTSB.
Tambah agensi itu, lebuh raya berkenaan juga ditutup selama 15 jam bagi membolehkan pihak bomba memastikan keadaan selamat.
Kenderaan pertama jenis itu telah diserahkan kepada beberapa pelanggan terpilih seperti PepsiCo sejak tahun 2022, namun pengeluaran berskala besar Tesla Semi hanya akan dibuat pada akhir tahun depan.
Kejadian itu memperlihatkan cabaran keselamatan terhadap kenderaan elektrik yang berisiko tinggi terbakar sekiranya terlibat dalam kemalangan dan memerlukan masa yang lama sebelum api dapat dipadamkan.
































