Pasukan penyelamat memeriksa kawasan tanah runtuh ekoran Taufan Yagi di kampung Lang Nu, Wilayah Lao Cai di utara Vietnam.
HANOI: Jumlah kematian akibat Taufan Yagi di Vietnam meningkat 226 orang, menurut agensi bencana kerajaan, ketika banjir di ibu negara Hanoi mula reda.
Menurut Utusan Malaysia, negara itu sedang bergelut dengan impak Taufan Yagi yang melanda pantai timur laut Vietnam sejak Sabtu lalu, dan mengakibatkan lebih 100 orang masih hilang, manakala sekitar 800 orang cedera, menurut laporan agensi tersebut.
Beberapa daerah di ibu kota Hanoi masih dilanda banjir pada Khamis, namun agensi cuaca memaklumkan ia telah reda, meskipun banjir kilat dan tanah runtuh masih menjejaskan kawasan di utara Vietnam.
Sebelum ini, ribuan penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Merah di Hanoi dipindahkan apabila paras airnya meningkat ke tahap tertinggi sejak tempoh 20 tahun lalu.
“Ada banyak kesedihan di kota ini dan ramai yang bimbang menjelang malam, apabila ramai yang hampir tidak mempunyai apa-apa telah kehilangan segalanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif bersama Blue Dragon Children’s Foundation, Skye Maconachie.
Di wilayah Lao Cai, pihak berkuasa giat mencari 55 orang yang hilang dalam banjir kilat melanda Kampung Nu sejak Selasa lalu, lapor Agensi Berita Vietnam.
Banjir kilat itu meragut 46 nyawa dan mencederakan 17 yang lain di kampung tersebut, tambah agensi itu, sambil menambah sebanyak 300 anggota tentera dan 359 pegawai tempatan menyertai usaha mencari dan menyelamat.
Tanah runtuh dan banjir telah menenggelamkan lebih 200,000 hektar sawah padi dan ladang tanaman di utara Vietnam, menurut agensi pengurusan bencana tersebut.
Taufan itu juga menjejaskan bekalan elektrik dan merosakkan bumbung beberapa kilang di wilayah Haiphong dan Quang Ninh, sehingga menyebabkan operasi pengeluaran terhenti.
Beberapa negara, termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, mengumumkan untuk menghantar bantuan kepada Vietnam.




























