Hannah Yeoh
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan isu yang membabitkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak sepatutnya timbul dan tiada keperluan untuk dipanjangkan.
Menurut Utusan Malaysia, Hannah berkata selama seminggu berada di Paris menyaksikan Sukan Paralimpik beliau tidak menerima apa-apa isu berbangkit daripada Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
“Bagi saya, semasa di Paris, beliau tidak pernah bangkitkan apa-apa isu kepada saya jadi saya pada saya tidak ada isu dan kalau betul ada isu kenapa bangkitkan selepas Datuk Abdul Latif (Romly) dapat perak.
“Saya fikir tuduhan yang dibangkitkan oleh beliau telah dijawab oleh Ketua Pengarah MSN (Abdul Rashid Yaakub). Jika ada salah faham, mereka kena duduk bersama dan selesaikan.
“Saya percaya mereka kena duduk berbincang dan bukannya melalui media,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Kejohanan Para Olahraga Program Rimau Emas di sini semalam.
Sebelum ini, Megat mendakwa sasaran pingat tidak dapat dicapai apabila terdapat campur tangan MSN yang menghalang pegawai MPM melaksanakan tugas mereka malah turut mendakwa Kontinjen Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Datuk R. Subramaniam dibuli.
Bagaimanapun, kenyataan Megat telah disangkal oleh Abdul Rashid dengan menyatakan semua tuduhan yang dilemparkan Megat terhadap MSN adalah tidak benar.
Dalam pada itu, Hannah percaya semuanya tidak akan menjadi isu jika dua atlet para olahraga iaitu Latif dan Muhammad Ziyad Zolkefli mendapat pingat emas dan bukannya perak seperti diraih mereka.
“Saya percaya kalau mereka berdua menang tiada isu. Untuk sukan, saya tidak sukan menuding jari. Saya suka duduk bersama dan selesaikan masalah.
“Anda percaya saya mampu buli Datuk Subramaniam? Kita tidak buli sesiapa dan kita bekerjasama dan bagi saya apa-apa isu, rundingan bersama itu penting,” katanya.


































