Calon Presiden Republikan, Donald Trump ketika berucap di Kelab Ekonomi New York di Cipriani di New York City, pada 5 September lepas.
WASHINGTON: Menjelang perdebatan penting antara calon Presiden Amerika Syarikat (AS) minggu ini, bekas Presiden dan jutawan Donald Trump memberi amaran akan mendakwa dan memenjarakan pihak yang terlibat dalam salah laku pilihan raya, meenurut Utusan Malaysia.
Jelas beliau, tindakan itu akan dilakukan tanpa mengira latar belakang pelaku sama ada peguam, pegawai politik, penderma, pengundi haram dan pegawai pilihan raya yang korup.
“Apabila saya menang, semua individu yang menipu dalam pilihan raya akan dihukum penjara.
“Jadi semua pihak perlu berhati-hati. Hukuman ini akan dibuat tanpa mengambil kira siapa anda,” kata Trump di media sosialnya, Ahad.
Amaran oleh calon Presiden Parti Republikan itu adalah yang terbaharu dibuat beliau sekiranya memenangi Pilihan Raya Presiden pada November ini.
Trump masih bertegas, berlaku penipuan dalam pilihan raya 2020 apabila beliau tewas kepada Presiden, Joe Biden walaupun sehingga kini tiada bukti menyatakan demikian.
Malah, beberapa mahkamah dan pemimpin parti di negeri-negeri mengakui kekalahan Trump ketika itu tanpa sebarang dakwaan penipuan pilihan raya.
Bulan lalu, beliau mengancam untuk menangkap dan mengusir penyokong Palestin yang tinggal di negara ini dan menyelar golongan tersebut sebagai ‘penjenayah’ pro-Hamas jika menjadi Presiden.


































