Anwar Ibrahim menunjukkan buku PIKAS 2030 pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 di Universiti Multimedia di Cyberjaya semalam. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kiri) dan Ketua Pengarah UKAS, Muhammad Razman Abu Samah (kanan).
CYBERJAYA: Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030 menyasarkan untuk meningkatkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Muhammad Razman Abu Samah berkata, pelan itu turut meletakkan objektif untuk menjana sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM82 bilion.
Pada masa sama, kata beliau, ia disasarkan untuk meningkatkan peluang pekerjaan sebanyak 900,000 pekerjaan menjelang tahun 2030.
“Kesemua objektif yang dinyatakan adalah seiring dan menyokong misi Ekonomi Madani bagi memacu ekonomi, meningkatkan daya saing dan penyerantauan, memastikan kemampanan fiskal dan memperkukuhkan tatakelola baik.
“Melalui pelaburan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh sektor swasta, peningkatan dalam kecekapan operasi, kualiti perkhidmatan dan produk serta pengurangan kos dapat dihasilkan,” kata beliau ketika berucap pada majlis peluncuran PIKAS 2030 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Multimedia (MMU) di sini semalam.
Menurut beliau, pelaksanaan projek kerjasama awam-swasta mengalami pelbagai peralihan sejak inisiatif dilaksanakan pada tahun 1981 dengan pelan induk terakhir digubal pada tahun 1991 iaitu Pelan Induk Penswastaan (PIP 1991) yang kini berusia 33 tahun.
“Namun kini PIKAS 2030 diharap menjadi rujukan utama kerjasama awam-swasta sehingga 2030, pelaksanaan projek menjadi lebih cekap dan berkesan bagi mencapai kesejahteraan negara,” katanya.
Sementara itu, Anwar ketika berucap berkata, beliau mahu setiap projek dalam PIKAS 20230 mesti menerapkan prinsip tatakelola tegas dan tidak bertolak ansur dengan kecurangan yang menjejaskan perubahan negara.
Perdana Menteri berkata, syarikat yang diswastakan bukan sahaja perlu mengejar keuntungan semata-mata, malah perlu memikirkan tiga aspek dalam mementingkan ‘keluarga’ iaitu dalam kalangan pekerja.
Kata beliau, tiga aspek itu ialah menitikberatkan soal kadar upah pekerja yang setimpal, kemudahan perumahan dan pendidikan untuk anak-anak mereka mengikut keupayaan syarikat masing-masing.
“Jadi peranan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) ini adalah untuk memastikan kepesatan kelulusan yang tidak terikat kerenah birokrasi berlebihan, tetapi tidak berganjak dengan prinsip utama tentang tatakelola dan mengelak sebarang kecurangan yang telah menjahanamkan sebahagian perubahan negara kita sebelum ini,” kata beliau.


































