SHANGHAI: Populasi haiwan peliharaan di China bakal mencecah dua kali ganda berbanding kanak-kanak pada 2030 susulan pasangan muda lebih memilih membela binatang berbanding memiliki anak sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, kajian didedahkan bank pelaburan, Goldman Sachs awal bulan ini menunjukkan, bilangan haiwan peliharaan dijangka mencecah 70 juta ekor pada hujung dekad ini, sementara populasi kanak-kanak bawah umur empat tahun kurang 40 juta.
“Keadaan ini berlaku disebabkan kecenderungan golongan muda yang belum bersedia memiliki anak,” jelas bank itu seperti laporan Channel News Asia.
Sejak beberapa tahun ini, kadar kesuburan di China mencatat hanya satu kelahiran oleh satu wanita berbanding dua anak bagi mengekalkan kestabilan populasi.
Seorang wanita China, Liu Yinghui dan suamiadalah contoh pasangan muda yang tidak mahukan anak walaupun sudah berkahwin tiga tahun lalu.
“Generasi kami kini lebih terbuka. Membela kucing sama sahaja seperti menjaga anak. Saya juga tidak kisah berbelanja untuk kucing,” katanya.


































