Ebit Lew semasa meninggalkan pekarangan Mahkamah Majistret Tenom, kelmarin.
TENOM: “Semasa kes Ebit belum terdedah dalam laman media sosial, kami tidak terfikir hendak buat laporan. Suami kata jangan dulu lapor, kami anggap kami bukan siapa-siapa,”.
Menurut Utusan Malaysia, demikian keterangan saksi kesembilan iaitu pengadu dalam kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret kelmarin.
Saksi memberitahu mahkamah bahawa pada awalnya dia tidak terfikir untuk membuat laporan polis sehingga terlihat paparan dalam media sosial pada Julai. Paparan dalam media sosial itu yang mendorong mereka membuat laporan polis.
Saksi juga mengakui bahawa dia sepatutnya berhenti berhubung dengan Ebit Lew selepas Ebit menghantar gambar alat sulit kepadanya melalui aplikasi Whatsapp.
“Saya perlu terus berhenti (berhubung) kalau orang itu bukan Ebit tapi, yang kirim gambar itu seorang yang bernama Ebit iaitu orang yang saya cari untuk menyertai program Keluarga Sunnah dan umumnya semua orang hormat. Sebab itu saya tidak berhenti, saya terkejut,” katanya.
Menurut saksi, dia bukan berhubung dengan Ebit secara sukarela. Dia hanya balas mesej apabila Ebit Lew menghantar Whatsapp kepadanya. Dia tidak pernah menghantar Whatsapp kepada Ebit terlebih dahulu.
Menjawab pertanyaan peguam bela, Datuk Ram Singh tentang perbelanjaan yang dibayar oleh saksi pertama Akhi Fairuz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Abu,39, saksi memberitahu Akhi membayar tiket penerbangan dan penginapan dia dan suaminya semasa mereka membuat laporan polis di Bukit Aman.
Kata saksi, pada mulanya mereka ingin berbelanja sendiri tapi Akhi beritahu mereka ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa seksual terutama wanita. Apabila diberitahu begitu, barulah dia setuju menerima bantuan Akhi.
Pada masa itu, saksi memutuskan untuk membuat laporan polis di Bukit Aman dan bukannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kerana Ebit adalah nama yang besar.
Saksi juga menyatakan selepas membuat laporan polis di Bukit Aman, dia ada berjumpa dengan Akhi Fairuz dan Firdaus Wong Wai Hung, 41, yang merupakan saksi ketiga.
“Akhi Fairuz sebagai saksi sebab saya ada mesej dia tentang gangguan Ebit selepas saya nampak Akhi muat naik paparan tentang gangguan seksual. Dengan Firdaus Wong, dia yang datang jumpa kami selepas kami buat laporan polis. Itupun tidak sampai sejam,” katanya.
Mahkamah menangguhkan perbicaraan petang ini kerana peguam bela kurang sihat dan perlu berjumpa dengan doktor. Perbicaraan akan bersambung semula pada pukul 9 pagi hari ini.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan.
































