PETALING JAYA: Seorang buruh ditahan polis selepas dipercayai merogol seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 16 tahun di sebuah rumah di Taman Saga, Ampang di sini pada 17 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian rogol itu dipercayai berlaku di rumah keluarga mangsa.
“Pengadu yang juga ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kejadian itu selepas mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi.
“CCTV itu tidak berfungsi kerana wayar dicabut oleh mangsa dipercayai bertujuan untuk suspek masuk ke kediaman itu,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Mohd. Azam berkata, ibu mangsa mendakwa suspek telah datang ke rumah itu dan telah merogol anaknya.
Susulan itu, menurutnya, pihak polis telah menahan suspek berusia 24 tahun di rumahnya di Subang dekat sini pada 10 malam, Rabu lalu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mengenali mangsa melalui satu aplikasi laman sosial.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah,” katanya.
Tambahnya, suspek direman lima hari bermula Khamis sehingga kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
































