Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (kiri) bergambar di podium bersama beregu dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae selepas perlawanan akhir beregu lelaki Terbuka Jepun, Arena Yokohama, kelmarin.
PETALING JAYA: Gelaran pertama di Terbuka Jepun 2024 yang diraih oleh beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi pembakar semangat bagi mereka untuk berada di ranking No.5 dunia.
Menurut Utusan Malaysia, Nur Izzuddin berkata kemenangan manis itu sudah pasti menyemarakkan semangat mereka untuk memburu kelompok lima terbaik dunia selepas ini.
“Kami hadir ke sini (Terbuka Jepun) untuk melakukan yang terbaik dan ianya membuahkan hasil. Kami berjaya memenangi kejohanan ini dan bangga dengan kejayaan kami,” kata Nur Izzuddin.
Pasangan No.12 dunia itu bakal bergerak secara pemain profesional bermula 1 September ini membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$62,900 (RM274,371).
Kejayaan Sze Fei-Nur Izzuddin selaku juara pada kejohanan bertaraf Super 750 itu sekali gus menamatkan penantian 22 tahun negara selepas kali terakhir dimenangi oleh Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada 2002.
Sementara itu, Sze Fei mengucapkan terima kasih kepada presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang sentiasa menyokong dan mempercayainya biarpun bergelut dengan prestasi selama menjadi pemain badminton negara.
Norza melepaskan jawatannya selaku presiden kelmarin, kini dipangku oleh Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V Subramaniam sehingga pemilihan exco baharu yang dijadual bakal diadakan pada pertengahan tahun hadapan.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini. Kami amat berterima kasih kepada Tan Sri yang sentiasa menyokong dan mempercayai kami semasa di luar atau dalam gelanggang,” kata Sze Fei.


































