KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang saksi yang berada di lokasi kejadian tanah jerlus dan melihat mangsa terjatuh di Jalan Masjid India di sini pada Jumaat lalu, bagi membantu siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, saksi terbabit adalah individu yang duduk di kerusi batu ketika kejadian berlaku.
“Kita (polis) sudah rakam keterangan adik perempuan mangsa yang berjalan di hadapannya.
“Menurut adik perempuan mangsa, apabila mangsa terjatuh, dia melihat ke dalam dan langsung tidak nampak mangsa.
“Justeru, kita mencari seorang lagi saksi yang duduk di kerusi batu untuk bantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, lelaki itu dipercayai gelandangan dan usaha mengesan sedang dilakukan.
“Setakat ini polis sudah merakam keterangan lima individu terdiri daripada ahli keluarga mangsa,” katanya.


































