Mia Le Rou muncul individu pekak pertama dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Afrika Selatan.
PRETORIA: Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) memenangi pertandingan ratu cantik negara ini, sekali gus muncul individu pekak pertama dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Afrika Selatan.
Menurut Utusan Malaysia, Mia Le Roux, 28, menewaskan sembilan peserta lain pada peringkat akhir pertandingan berkenaan yang diadakan di Arena SunBet di Pretoria, kelmarin.
Dalam ucapan sejurus kemenangannya, Roux berkata, pencapaiannya itu diharap dapat memberi harapan kepada golongan OKU untuk mencapai impian mereka.
“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada golongan kelainan upaya,” ujarnya seperti laporan AFP.
Roux yang juga seorang model dan pengurus pemasaran, menghidap masalah pendengaran pada usia setahun, memaksanya memakai alat bantuan pendengaran.
Dia menjalani terapi pertuturan selama dua tahun sebelum boleh bercakap.
Pertandingan ratu cantik itu bagaimanapun dibayangi kontroversi apabila seorang pesertanya, Chidimma Adetshina, 23, menarik diri selepas asal usulnya dipertikaikan.
Adetshina, seorang pelajar jurusan undang-undang adalah anak kepada lelaki berketurunan Nigeria sementara ibunya berasal dari Mozambique.
Ibu Adetshina dikatakan mencuri identiti seorang wanita tempatan bagi membolehkan anaknya bertanding.






























