Hajiji menandatangani plak sempena pelancaran projek perintis di Jalan Ongkilan, Kota Marudu hari ini.
KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri menerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Kumpulan Sawit Kinabalu dan Jabatan Pertanian telah memulakan projek perintis padi seluas 100 hektar di Kampung Ongkilan di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek perintis itu akan membantu Kerajaan Negeri meningkatkan tahap sara diri (SSL) Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030.
“Keselamatan makanan adalah kebimbangan utama global dan Sabah tidak dikecualikan. Penduduk Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 400,000 tan beras setiap tahun, manakala pengeluaran beras domestik hanya mampu membekalkan 20 peratus daripada penggunaan negeri.
“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk mengendalikan keselamatan makanan dengan bijak dan berkesan bagi memenuhi permintaan rakyat, khususnya beras,” katanya pada majlis pelancaran projek perintis itu hari ini.
Sawit Kinabalu menggunakan semua sumber yang ada dan teknologi canggihnya, termasuk dron, dalam operasi dan penyelenggaraan penanaman padinya, serta pam air dan sistem pengairan yang lebih sistematik untuk projek bernilai RM5 juta itu.

Hajiji dan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan melihat kawasan sawah padi.
Hajiji berkata, daerah ini mempunyai kira-kira 2,600 hektar sawah terbiar.
“Justeru, tindakan perlu diambil bagi memastikan kawasan sawah padi yang terbiar ini dapat dihidupkan semula. Saya mahu lebih banyak GLC di Sabah mencontohi usaha Sawit Kinabalu,” katanya.
Ketua Menteri juga mahu tanah milik GLC yang tidak digunakan dibangunkan untuk pertanian khususnya padi yang boleh dilakukan dengan bantuan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri.
“Inisiatif Sawit Kinabalu adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membangunkan produktiviti padi dan beras negeri.
“Saya menaruh harapan tinggi agar projek penanaman padi Sawit Kinabalu akan diperluaskan untuk mencapai tahap ekonomi skala dan meningkatkan keuntungan Kumpulan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif yang membawa pembangunan ekonomi yang pesat, mampan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat di seluruh Sabah.
Beliau gembira mengetahui bahawa dalam usaha membangunkan Kota Marudu, Sawit Kinabalu, selain mengendalikan ladang dan kilang kelapa sawit, juga memainkan peranan penting dalam sektor lain, seperti projek pembiakan ikan barramundi (Siakap) di Langkon, yang akan terus merangsang industri makanan di daerah ini.
“Saya menggesa semua jabatan kerajaan dan agensi berkaitan sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam memperkasakan sektor pertumbuhan ekonomi utama negeri seperti yang termaktub dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.


































