Lori yang merempuh sebuah rumah sehingga menyebabkan dua kematian di Kampung Ketapang Hilir di Pekan, Pahang.
PEKAN: Dua beradik maut setelah kediaman mereka dilanggar sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin, Kampung Ketapang Hilir di sini awal pagi hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Mohd. Waldon Faris, 25, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, kejadian dianggarkan berlaku pada pukul 4.15 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati, lori membawa muatan siling kapur dipandu seorang lelaki dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa melalui selekoh ke kiri lori dipandu lelaki terbabit hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh rumah yang berada di sebelah kanan jalan.
“Kesan rempuhan itu, seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala empat lagi penghuni lain dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun sekitar pukul 1.30 petang hari ini, seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pekan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Mohd. Zaidi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang cuai semasa memandu lalu hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
“Ujian saringan awal dijalankan oleh pihak Hospital Pekan mendapati pemandu lori berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine atau Amphetamine.
“Pemandu lori yang cedera ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Pekan akan akan ditahan untuk tujuan reman hari esok sebaik sahaja rawatan selesai.
“Ujian saringan awal air kencing juga akan dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Pekan,” ujarnya.
Beliau memaklumkan kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Difahamkan jenazah Nurnazatul Fasiha yang merupakan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan adiknya Mohd. Waldon Faris yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang di sini hari ini.


































