Bagasi elektrik semakin popular dalam kalangan pelancong kerana memudahkan pergerakan di lapangan terbang dan stesen kereta api.
TOKYO : Jepun melarang penggunaan bagasi elektrik yang kian popular dalam kalangan pelancong dengan menyatakan individu yang menaiki bagasi bermotor itu perlu mempunyai lesen memandu.
Menurut Utusan Malaysia, larangan itu dibuat susulan penggunaan bagasi elektrik tersebut boleh mengakibatkan kesesakan dan mampu mendatangkan bahaya kerana ia boleh dipandu selaju 13 kilometer sejam.
Akhbar dalam talian The Independent melaporkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Aichi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka turut menasihatkan pelancong supaya tidak menunggang bagasi di premis mereka.
Menurut undang-undang Jepun, beg tersebut diklasifikasikan sebagai basikal bermotor yang hanya boleh ditunggang di jalan raya dengan peralatan keselamatan seperti topi keledar selain memerlukan lesen memandu.
Bagasi elektrik semakin popular dalam kalangan pelancong kerana memudahkan pergerakan di lapangan terbang dan stesen kereta api.
Ia dikuasakan oleh bateri lithium-ion dan sama seperti dengan skuter kanak-kanak.
Seorang pelajar wanita dari China bulan lalu menjadi individu pertama di negara ini berdepan pertuduhan atas kesalahan menunggang bagasi elektrik di kaki lima Osaka tanpa lesen memandu.
Pada awal bulan lalu, seorang kanak-kanak Indonesia mengejutkan pihak berkuasa selepas dilihat menunggang bagasi tersebut di daerah Dotonbori, Osaka, yang juga satu kawasan beli-belah paling sibuk di Jepun.
Keluarga kanak-kanak tersebut dilaporkan terkejut selepas dimaklumkan bahawa menunggang peranti seperti itu di jalan raya adalah haram di Jepun, walaupun ia boleh dipandu di mana-mana di Indonesia.


































