KUBANG PASU: Dua individu maut akibat terperangkap dalam sebuah lubang pembentung dipercayai cuba mencuri kabel telekomunikasi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting, Jitra.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian disedari orang awam yang curiga melihat lubang itu terbuka kira-kira pukul 8 pagi.
Beliau berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai keadaan itu kemudiannya menghubungi syarikat telekomunikasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan.
“Pemeriksaan dijalankan menemukan dua lelaki yang dipercayai terperangkap dalam lubang tersebut. Pihak bomba dipanggil bagi membawa naik mayat dua lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Rodzi berkata, siasatan awal mendapati terdapat kabel syarikat komunikasi tersebut yang telah dipotong pada satu lagi lubang pembentung yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd. Bustan Karudin berkata, dua lelaki terbabit terperangkap di dalam lubang yang berkedalaman 4.5 meter.
Katanya, bomba menggunakan alat pengesan gas bagi memastikan tahap bahaya gas di lokasi tersebut sebelum anggota yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan menyelamat turun ke lubang berkenaan.
Katanya, operasi membawa naik mangsa keluar dari pembetung tersebut tamat pada pukul 12.32 tengah hari.


































