Bila bercakap tentang Hollywood, pastinya antara tanggapan kita adalah pelakon yang seksi dan berani melakonkan babak ‘panas’ depan kamera.
Sebenarnya, tiada salah pandangan itu. Ini kerana itulah antara imej yang dipotretkan pentas filem termasyhur dunia itu.
Akan tetapi, bukan semua pelakon Hollywood itu sifatnya murahan, sanggup menggadai maruah demi tawaran lakonan.
Muncul juga nama-nama besar, yang berjaya mencipta kejayaan dengan berimej bersih. Berikut lima pelakon wanita yang mempertahankan maruah dan dengan tegas menolak dijadikan simbol seksual.

ANNA KENDRICK
Menurut Utusan Malaysia, bintang filem Up in The Air ini menolak permintaan untuk berbogel atau melakukan aksi seksual dalam filem.
Bahkan, Anna meminta pengarah, Jake Szymanski menggunakan khidmat pelakon ganti untuk babak intim dalam filem Mike and Dave Need Wedding Dates.
Anna memaklumkan dia tidak akan sesekali menanggalkan pakaian atau melakonkan babak seksual.
“Tidak! Saya tidak akan sesekali melakukannya. Dan saya tidak mengkritik mana-mana pelakon yang rela melakukannya.
“Saya akan terus berpegang dengan pendirian ini dan berharap saya dapat bertahan,” katanya kepada Telegraph.

Pelakon cantik ini hampir kehilangan tawaran lakonan disebabkan keengganannya untuk tampil tanpa seurat benang di depan kamera.
“Sebuah filem boleh menjadi seksi tanpa perlu ‘membogelkan’ pelakon. Saya hampir tidak diambil berlakon dalam sebuah filem untuk tontonan dewasa.
“Penerbit mahu pelakon menanggalkan baju hampir kesemua babak dalamnya.
“Tetapi saya tahu apa yang saya mahukan dan percaya perkara itu dapat dielakkan,” katanya kepada majalah Playboy.

HILARY DUFF
Sejak mengecap populariti di usia remaja, Hilary Duff berjaya mengekalkan imej bersih sampai ke hari ini.
Bercakap kepada Telegraph, Hilary memaklumkan tidak akan sesekali mencemar imej bersihnya hanya kerana sudah bergelar dewasa.
“Saya mahu menjadi diri sendiri, tidak akan sesekali tanggalkan pakaian untuk berlakon.
“Ibarat trend, setiap remaja mahu melakukan perkara gila sebaik meningkat dewasa.
“Saya tidak nampak kebaikannya di situ,” katanya.

EMMA WATSON
Ada sebab kenapa Emma Watson menjaga dan mengekalkan imej yang bersih dan sopan sampai ke hari ini.
Bercakap kepada New York Daily News, perkara itu bersangkut paut dengan karakter Hermione Granger yang dilakonkannya dalam filem Harry Potter.
“Saya tidak akan menanggalkan pakaian atau mengambil dadah demi sebuah watak.
“Orang kenal saya sebagai Hermione. Saya bangga dengan watak itu, jadi saya tidak mahu merosakkannya,” katanya.

MANDY MOORE
Imej bersih yang dipertahankan pelakon dan penyanyi, Mandy Moore sejak kemunculan awalnya pada 1999 tidak pernah tercalar.
Jadi, bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya pelakon filem This Is Us ini enggan ‘menjual tubuh’ di set penggambaran.
Malah, Mandy pernah meminta pelakon lain menggantikannya untuk babak ‘panas’ dalam filem Chasing Liberty.
“Saya adalah wanita yang sopan. Disebabkan itu, saya pernah meminta pelakon lain menggantikan saya untuk satu babak yang memerlukan karakter tersebut menanggalkan pakaian dan terjun ke dalam sungai di Prague,” katanya kepada Entertainment Tonight.