Tian Soon (dua dari Kiri) menziarahi keluarga kanak-kanak perempuan yang terlibat kejadian culik di Eco Galleria, Iskandar Puteri.
ISKANDAR PUTERI: Albertine Leo Jia Hui yang diculik di sebuah pusat beli belah Eco Galleria, Sabtu lalu masih trauma dan tidak mahu ditinggalkan sendirian.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dikongsikan Leo Qieo Xin, 37, kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon ketika melawat mangsa di rumah saudaranya di Johor Bahru semalam.
Tian Soon berkata, Albertina, 6, yang dilarikan dari Taman Botani, Iskandar Puteri ke Batang, Kali, Selangor nampak ceria apabila kembali ke pangkuan keluarganya.
“Semalam saya menziarahi keluarga Jia Hui bagi menyampaikan salam Menteri Besar Johor serta menyampaikan cenderahati kepada kanak-kanak perempuan itu.
“Walaupun dari segi luaran Jia Hui tampak ceria, ibunya memberitahu anak ketiga daripada empat beradik itu rasa takut apabila berseorangan atau tinggal seorang diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tian Soon menziarahi keluarga itu bersama Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Tan Hiang Kee dan Pegawai Khas Menteri Besar, Chua Jian Boon.
Sabtu lalu, negara digemparkan dengan kehilangan Albertine ketika Festival Bon Odori Johor berlangsung di Eco Galleria, Taman Botani.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu ditemui semula di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selasa lalu selepas kira-kira hampir 56 jam diculik.
Dalam pada itu, Tian Soon berkata, kanak-kanak itu dijangka menjalani ujian saringan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
“Ketika ini, keluarga mangsa masih di bandar raya ini kerana perlu memberi kerjasama berhubung siasatan kes tersebut sehingga kertas siasatan dilengkapkan.
“Ibu kanak-kanak itu merasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan Menteri Besar Johor yang prihatin terhadap apa yang menimpa diri anaknya.
“Ibu kepada kanak-kanak itu berjanji akan lebih berhati-hati ketika menyertai festival jualan pada masa akan datang supaya insiden sama tidak berulang,” katanya.
































