Azri Ahmad ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan Sambutan Satu Dekad Penubuhan JIPS di Bukit Aman, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti seramai 411 warganya mengalami masalah kesihatan mental berikutan beban tugas yang ditanggung.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, angka itu diperolehi menerusi kajian pihaknya pada tahun 2022 dan 2023.
Menurut beliau, PDRM adalah sebuah pasukan penguat kuasa undang-undang yang mempunyai keanggotaan yang ramai dengan ‘nature of work’ yang tiada henti untuk 24 jam sehari.
“Pegawai polis berurusan secara langsung dengan masyarakat dan di dalam masa sama mereka juga adalah ahli masyarakat yang perlu meneruskan hidup yang serba mencabar.
“Sebagai manusia biasa warga PDRM juga tidak terkecuali daripada terkesan dengan isu kesihatan mental ekoran tekanan kerja dan tuntutan untuk memenuhi keperluan hidup yang tinggi,” katanya dalam ucapan Sambutan Satu Dekad Penubuhan JIPS di Bukit Aman, di sini kelmarin.
Beliau berkata, pegawai polis sukar untuk menghindarkan diri daripada terjerumus kepada rasuah, salah guna kuasa dan jenayah lainnya kerana ruang dan peluang yang hadir tanpa henti.
Kata beliau, JIPS akan sentiasa bersedia melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sebagai Pengurus Integriti Warga PDRM.
“Namun begitu, jabatan ini tidak mungkin mampu merubah apa yang ada melainkan mendapat sokongan daripada semua pihak.
“Tidak terkecuali sokongan padu daripada masyarakat, untuk menjadikan PDRM kekal sebagai sebuah agensi penguatkuasa ulung negara yang dipercayai dan disegani di seluruh dunia,” jelasnya.
































