PETALING JAYA: Kos perubatan di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 12.6 peratus berbanding purata 5.6 peratus inflasi global pada tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, peningkatan ini didorong oleh pertambahan 600,000 rakyat dewasa yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam tempoh empat tahun sejak 2019.
Sebelum ini, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 meletakkan rakyat Malaysia kini hidup di tengah-tengah krisis NCD apabila menunjukkan 2.3 juta rakyat dewasa berhadapan masalah itu berbanding 1.7 juta seperti pernah direkodkan pada 2019.
Dengan peningkatan inflasi kos perubatan sekali gus menyebabkan rakyat kini berhadapan bebanan kewangan lebih tinggi kerana perlu membayar kos pemeriksaan doktor dan rawatan penyakit kronik khususnya di fasiliti swasta yang bertambah selari dengan fenomena itu.
Naib Presiden 1 Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Wan Noorasmara Mohd. Noor berkata, gaya hidup tidak sihat menjadi antara faktor peningkatan inflasi kos perubatan apabila ia mendorong lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan di hospital dan klinik.
Katanya, tiga jenis NCD seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol membuatkan permintaan kepada rawatan jangka panjang meningkat dan sekali gus meningkatkan kos perubatan dalam negara ini.
“Sebelum ini, dilaporkan lebih 20 peratus rakyat menghidap kencing manis, tambahan pula Malaysia muncul sebagai negara kedua di Asia Tenggara mempunyai ramai rakyat bermasalah berat badan.
“Selain itu, antara punca kos inflasi perubatan adalah peningkatan warga emas di Malaysia apabila jumlah penduduk sekitar 7.2 peratus seperti pernah direkodkan pada 2022. Lebih-lebih lagi kumpulan ini juga banyak menyumbang kepada NCD di Malaysia
“Malah peningkatan kos perubatan di hospital swasta di samping mereka perlu mengekalkan perkhidmatan kesihatan terbaik manakala pertambahan kos dan harga ubat yang diimport juga mendorong inflasi perubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Bank Negara (BNM) menjelaskan pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) mulai 1 September ini untuk membolehkan pengguna memilih produk pada kos lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka.
Bank pusat itu memaklumkan pengambilan produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama yang lebih meluas secara beransur-ansur bertujuan membantu membendung inflasi kos perubatan di Malaysia melalui kawalan terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan.
Justeru itu, Dr. Wan Noorasmara berkata, semua pihak khususnya kerajaan perlu mengambil beberapa langkah untuk menangani inflasi perubatan termasuklah hospital kerajaan dan swasta harus bekerjasama dalam menangani masalah pesakit warga emas semakin meningkat.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengurangkan cukai terhadap barang import seperti peralatan perubatan dan ubat supaya pihak swasta tidak mengenakan caj tinggi untuk menampung kos pembelian.
“Pihak hospital kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak swasta untuk membuat ujian yang memerlukan peralatan canggih seperti ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan), ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan angiogram.
“Malah hospital kerajaan boleh menghantar pesakit-pesakit yang terlalu ramai dan temujanji terlalu lama untuk pergi ke hospital swasta dan kos ditanggung oleh kerajaan. Fasiliti kesihatan swasta juga perlu membantu dengan cara mengurangkan caj perkhidmatan kerana pesakit terlalu ramai,” katanya.
Namun paling penting katanya, semua pihak termasuk kerajaan perlu mempergiatkan kempen gaya hidup yang sihat dalam kalangan rakyat.
“Perlu lebih banyak kempen-kempen kesihatan terutama kawasan luar bandar di mana fasiliti kesihatan agak kurang. Selain itu, kena mengadakan lebih banyak ujian kesihatan untuk rakyat tiada kemampuan dan B40 kerana merekalah yang paling kurang pergi ke fasiliti kesihatan kerana tiada masa dan kekangan kewangan,” katanya.