Bahrin (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Sabin.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas mengadakan kunjungan hormat kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini, kelmarin
Kunjungan tersebut antara lain bertujuan menjalin hubungan lebih erat dengan pihak kepimpinan bandar raya sekali gus menyampaikan input-input mengenai permasalahan penduduk-penduduk selain mendapatkan penjelasan dan input-input mengenai perkembangan semasa.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohammad Bahrin Abd. Karim yang mengetuai kunjungan tersebut berkata, pihaknya berharap dapat menjalin hubungan dua hala dengan DBKK khususnya dalam menyalurkan masalah rakyat yang berhubung kait dengan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.
“Kita berharap dapat menjadi rakan strategik kepada pihak DBKK dalam menangani pelbagai masalah semasa terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan Likas.
“Hal ini kerana sebagai sebuah parti politik kita saban hari menerima aduan rakyat secara langsung dan berharap masalah yang ditimbulkan ini dapat ditangani dengan lebih berkesan dan efektif sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Muammar Julkarnain; Ketua Wanita Likas, Halizah Din; Ketua Pemuda Likas, Shamee Mohd. Ron; Setiausaha Bahagian Likas, Zakaria Mandalam; Ketua Penerangan Likas, Mohd. Shahezam Salisi serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian.
Bersama dengan Mayor ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Robert Lipon, Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Saimon Angkak dan Ketua Kakitangan Pejabat Mayor, Rosie Inus Malakun.
Mohammad Bahrin berkata, semasa kunjungan itu beliau juga telah menyuarakan isu sistem perparitan terutama kawasan tempat letak kereta digenangi air apabila berlaku hujan lebat, selain pokok kayu besar di kawasan Sekolah Kian Kok, Likas dan memohon untuk mendapat tempat untuk berniaga di pasar malam dan peluang-peluang pekerjaan di DBKK.
“Kita berharap pertemuan ini membolehkan kepimpinan parti memainkan peranan mereka dengan lebih baik dalam menyalurkan maklumat semasa kepada DBKK dan pihak berkenaan boleh memberikan maklum balas dengan lebih efisien langkah-langkah yang akan diambil.
“Semua ini bagi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat setempat khususnya di Likas memandangkan proses perbandaran yang semakin pesat, penduduk yang semakin bertambah sekali gus mengundang pelbagai masalah semasa yang perlu diselesaikan dalam jangka masa segera atau jangka masa panjang,” ujar beliau.