Remaja lelaki yang meninggal dunia akibat masalah berkaitan jantung ketika menonton perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki meninggal dunia apabila rebah di Stadium Darul Aman sementara menanti perlawanan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia,Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang ketika mangsa yang berusia 18 tahun, berada di tempat duduk penonton stadium berkenaan.
“Remaja itu yang datang bersama adiknya ke stadium tiba-tiba rebah di tempat duduk penonton dan tidak sedarkan diri sebelum perlawanan bermula.
“Orang ramai yang berada di situ segera mendapatkan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Siti Nor Salawati, pegawai perubatan di zon kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Semakan dan temubual bersama warisnya mendapati remaja itu sememangnya menghidap penyakit jantung sejak kecil. Pihak hospital juga mengesahkan kematian mangsa disebabkan masalah berkaitan jantung iaitu ‘complex cyanotic heart disease,” katanya.
Tambahnya, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).