Dr. Dzulkefly Ahmad
KANGAR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjualan dan penggunaan racun dalam kalangan masyarakat.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kejadian meragut nyawa melibatkan dua beradik yang termakan keropok mengandungi racun tikus sebelum ini menjadi peringatan bagi melihat semula keperluan dalam menguatkuasakan peraturan berkaitan penjualan dan penggunaan bahan tersebut.
Katanya, bagi tujuan itu, KKM akan turut melibatkan kolaborasi bersama agensi-agensi lain dalam menguatkuasakan peraturan tersebut.
“Ini adalah satu perkara yang saya perlu susuli, kita tahu racun-racun ini boleh membawa maut dan dengan kejadian sebegini, ia mengingatkan kami khususnya tentang penguatkuasaan akan peraturan-peraturan dari segi SOP menggunakan racun itu,” katanya selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, disedari ibu mereka dalam keadaan mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, selepas termakan keropok bercampur racun tikus.
Racun jenis serbuk itu dipercayai digunakan oleh penduduk untuk memerangkap haiwan liar terutama monyet yang didakwa merosakkan tanaman mereka dan mengganggu ketenteraman penduduk.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kes tersebut masih berada dalam siasatan pihak berkuasa dan sampel berkaitan juga telah diserahkan kepada polis.
“KKM tidak dapat memberi sebarang kemaskini sehingga menerima perkembangan laporan terkini daripada polis,”katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Dzulkefly berkata, sepanjang tempoh sejak Januari sehingga Jun tahun ini, sebanyak 63,784 premis telah diperiksa dimana 16,414 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 (Akta 281) telah dikeluarkan manakala 910 premis diarah tutup.
Selain itu, beliau berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 8,612 operasi telah dilaksanakan dibawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 berkaitan larangan merokok di kedai makan.
“Jadi itu adalah antara statistik yang dapat kita sebutkan sekali gus menunjukkan betapa kita komited dalam melakukan penguatkuasaan,” katanya.
Tambahnya, KKM juga sememangnya sedang mempertimbangkan keperluan bagi mewujudkan ruangan khas untuk merokok di kawasan premis.
“Ini dalam pertimbangan saya dan kita akan buat rumusan semasa melaksanakan perintah daripada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) selepas ini,” katanya.