Hannah Yeoh
MELAKA: Habuan hadiah wang tunai lebih RM1 juta bakal diraih bagi mana-mana atlet yang mampu menyumbang pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beberapa syarikat swasta telah bersetuju menawarkan sejumlah wang tunai bagi menambah nilai insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang ditawarkan sebanyak RM1 juta bagi pemenang pingat emas di Sukan Olimpik.
Menurutnya, tawaran yang diberikan syarikat terbabit menaikkan nilai insentif lebih dari RM1 juta bakal menguatkan semangat dalam kalangan 26 atlet negara dalam memburu pingat emas pertama negara di temasya sukan berprestij itu.
“Untuk sumbangan daripada pihak kerajaan kita masih kekal dengan ganjaran RM1 juta cuma sekarang ini ada beberapa pihak swasta telah mula menghubungi Jawatankuasa Road To Gold (RTG).
“Mereka berminat untuk menambah nilai isentif yang sedia ada bagi tawaran kepada atlet yang akan membawa balik pingat emas pertama negara di Paris nanti.
“Pengumuman mengenai jumlah sebenar nilai lebih RM1 juta itu akan diumumkan oleh Jawatankuasa RTG tidak lama lagi,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) Peringkat Parlimen Kota Melaka di RNJ Swimming Academy di Kota Laksamana di sini, semalam.
Mengulas lanjut Hannah berkata, selain ganjaran wang tunai, atlet yang bakal mencipta sejarah negara turut ditawarkan sebuah kereta berjenama luar negara.
Tegasnya, setakat ini sasaran satu pingat emas adalah realistik melalui berbasikal trek dan badminton.
Begitupun katanya, sukan angkat berat dan terjun tidak boleh dinafikan mampu membuat kejutan menjadi penyumbang pingat emas pertama negara nanti.
Setakat ini, Malaysia telah memenangi 13 pingat Olimpik sejak Tokyo 1964 terdiri daripada lapan perak dan lima gangsa namun belum pernah meraih sebarang emas.