Anwar Ibrahim
MARANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan semua institusi sains negara bekerjasama dengan universiti dan sektor swasta untuk meningkatkan kemajuan dalam bidang penyelidikan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, Malaysia perlu meletakkan tumpuan dalam bidang penyelidikan tersebut di hadapan untuk bersaing dengan negara-negara lain.
Ini kerana, menurutnya, pada masa ini, Malaysia masih jauh tertinggal dengan negara-negara lain seperti Brazil, India, dan Turkiye serta Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terutama dalam bidang penyelidikan bidang penyelidikan tenaga boleh diperbaharui.
“Kita beri tumpuan (dalam bidang tenaga boleh diperbaharui) kerana kita masih ketinggalan, terus terang Malaysia masih ketinggalan berbanding Brazil, India , Cina, Turkiye dan Abu Dhabi meletakkan ke depan tumpuan mereka dalam bidang penyelidikan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Anwar menambah, negara perlu berdaya saing terutama dalam bidang penggunaan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital , transisi tenaga dan teknologi lain bagi menyokong kepelbagaian ekonomi.
“Kita perlu bersedia membawa perubahan supaya sesuai dengan keadaan semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, penerokaan dalam bidang baharu itu juga boleh dimulakan di peringkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan perkongsian kepakaran dan pihak berkenaan.
Beliau berkata, TVET perlu melakukan perubahan supaya bersesuaian dengan keperluan semasa dan tidak boleh mengekalkan sistem TVET terdahulu.
“TVET bukan 10 tahun lalu, tidak boleh kekal sistem dahulu yang tak beri penekanan digital transformation,” ujarnya.