Seorang lelaki (duduk) ditahan kerana disyaki melanggar anggota polis sebelum cuba meloloskan diri dalam kejadian di Jalan Datuk Ismail Hashim, di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar depan sebuah van yang dipandu seorang lelaki yang cuba melanggar anggota mereka dalam kejadian di Jalan Datuk Ismail Hashim, di Bayan Lepas di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, polis turut menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia yang berumur 36 tahun yang juga pemandu van tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, terdahulu, sepasukan polis trafik yang sedang menjalankan Op Perdagangan di Jalan Tun Dr. Lim Chong Eu telah mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota tersebut cuba menahan kenderaan itu.
“Pemandu van terbabit bagaimanapun enggan memberi kerjasama untuk berhenti dan anggota polis yang bertugas seterusnya bertindak mengejar van tersebut sehingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim.
“Kemudian, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar depan kenderaan itu selepas pemandunya cuba melanggar anggota polis sebelum van berkenaan terbabas di bahu jalan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Kamarul Rizal, susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemandu van tersebut.
“Pemeriksaan awal mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu selain memiliki pelbagai rekod jenayah lampau,” katanya yang memberitahu, ketika mengejar van sejauh lima kilometer (km) itu, berlaku beberapa kemalangan dengan kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan.
Dalam pada itu, Kamarul Rizal berkata, ujian air kencing terhadap lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Pemeriksaan juga mendapati, suspek mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit dengan kes Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba bunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 melepaskan tembakan di tempat awam,” katanya.
































