Ellron Angin
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak dapat mempertimbangkan pembinaan kompleks sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis kerana tapak yang dicadangkan adalah tidak sesuai dan tidak mempunyai keluasan yang besar.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, pembinaan sesebuah kompleks sukan itu terikat dengan peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang mewajibkan setiap permohonan untuk membina baharu kemudahan sukan hendaklah di tapak milik Pejabat Tanah Persekutuan (PTP) atau telah diwartakan kepada PTP.
“Walau bagaimanapun, Kementerian saya akan mengemukakan semula permohonan kepada Kerajaan Persekutuan setelah mengenal pasti tapak yang sesuai dan mematuhi garis panduan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh EPU,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd. Tamin @Tamin Zainal (Pantai Manis) yang bertanya apakah status mini stadium yang dicadangkan pembinaannya di DUN Pantai Manis.
Projek pembinaan mini stadium di DUN Pantai Manis telah dipohon di bawah projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.