Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif (kanan) semasa persidangan DUN di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Sabah akan menubuhkan Mahkamah Utama Syariah iaitu mahkamah tertinggi dalam susunan hiraki kehakiman syariah di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, penubuhan mahkamah utama itu akan mengubah hiraki mahkamah syariah sedia ada daripada tiga kepada empat peringkat.
Beliau berkata, menerusi penubuhan mahkamah utama itu nanti, ia akan memperlihatkan perubahan bidang kuasa bagi setiap mahkamah, perubahan proses rayuan dan penyemakan daripada setiap mahkamah, pelantikan hakim, pendaftar dan pegawai sulh bagi setiap mahkamah.
Pada masa ini, terdapat tiga lapisan mahkamah dalam struktur bidang kuasa Mahkamah Syariah di Sabah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.
“Demi kepentingan keadilan dan bersesuaian dengan kuasa Mahkamah Syariah terhadap undang-undang Islam lain sama ada yang sedang berkuat kuasa atau undang-undang baharu yang bakal diperkenalkan.
“Antara lain berkaitan dengan pewarisan harta pusaka orang Islam dan pengangkatan anak orang Islam, struktur Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya hendaklah diperkemaskan dengan menambah lagi satu lapisan mahkamah yang lebih tinggi untuk memberi ruang yang lebih luas kepada pihak-pihak untuk menyemak dan merayu daripada mahkamah yang lebih rendah kepada mahkamah yang lebih tinggi,” katanya semasa pembentangan Rang Undang-Undang Enakmen Mahkamah Syariah 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
RUU Enakmen Mahkamah Syariah 2024 yang dibentangkan itu satu daripada empat RUU yang diluluskan DUN Sabah hari ini.
Tiga RUU lain yang turut diluluskan adalah RUU Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024; RUU Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024; RUU Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2024.
Pindaan dalam Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) digubal bagi mengadakan peruntukan untuk perkara berkaitan pendakwaan syariah dan penguatkuasaan agama.
Menerusi Enakmen Mahkamah Syariah 2024, kedua-dua peruntukan itu tidak lagi ada dalam enakmen yang baharu maka, kedua-dua perkara itu perlu dimasukkan dalam enakmen tersebut bagi menyesuaikan kedudukan pendakwaan syariah dan penguat kuasa agama di bawah MUIS.