Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rundingan isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang disegerakan bagi membolehkan satu keputusan dimuktamad dengan kerajaan dan mengelak sebarang rundingan dijalankan secara berasingan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit memandangkan syarat ditetapkan kepada ahli Parlimen pembangkang yang mahu mendapatkan peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa.
“Saya tidak faham mengapa proses ini jadi rumit. Tentang tarikh, syarat.. itu proses biasa dalam mana-mana proses demokrasi. Sekali lagi dan berulang kali saya sebut kesediaan kita, tapi biar ikut proses dalam amalan Parlimen.
“Parameter tidak susah. Tetapi, sebab ada sikap kurang positif, tidak ada rasa rendah diri, agak kompleks untuk menemui Perdana Menteri di pejabat Perdana Menteri dan bincang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berhubung isu tersebut.
Pada Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamad, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangun dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang), kata Anwar, beliau sudah memberi mandat penuh kepada Fadillah bagi mewakili kerajaan dalam rundingan berkenaan.
“Walaupun saya terus diserang, kata kita zalim, semua proses peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang di semua negara demokrasi mesti mengikut prosesnya. Rundingan dan saya beri mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan.
“Tiada syarat mesti sokong Perdana Menteri, tidak ada syarat itu. Saya tidak pernah kenakan syarat itu. Seperti kami lakukan ketika Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) jadi Perdana Menteri, juga diwakili oleh kedua-dua pihak (wakil kerajaan dan pembangkang),” katanya.


































