KUALA LUMPUR: Bukit Aman membongkar kegiatan khidmat urut wanita asing serendah RM60, namun di sebalik itu menyediakan khidmat seks dengan bayaran tambahan.
Kegiatan itu terbongkar selepas premis urut di sekitar Lembah Klang, digempur Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman hasil maklumat dan risikan pada Jumaat lalu.
Menerusi operasi mega bermula pukul 3 petang itu dijalankan di Kuala Lumpur di sekitar daerah Brickfields, Cheras dan Dang Wangi serta Selangor membabitkan kawasan Kajang, Gombak dan Ampang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebanyak 10 serbuan dilaksanakan dan seramai 39 wanita warga asing berusia lingkungan 19 hingga 50-an dipercayai bekerja sebagai pekerja seks dan tukang urut ditahan.
Menurutnya, wanita ini terdiri daripada 22 warga Thailand, Vietnam (5), Indonesia (5), Laos (6) dan seorang Kemboja.
“Turut ditahan sembilan lelaki termasuk seorang warga asing merupakan penjaga kaunter premis selain seorang pelanggan premis.
“Kesemua premis urut ini dipercayai melakukan kesalahan menggajikan wanita warga asing bekerja tanpa sebarang permit yang sah serta menjalankan aktiviti yang tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan seks dan urutan,” katanya di sini.
Beliau berkata, siasatan mendapati premis-premis urut ini menjalankan operasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 1 pagi dengan mendapatkan khidmat secara ‘walk in’ selain aplikasi WhatsApp.
Kata beliau, kebanyakan premis urut ini menyasarkan warga asing dan pelanggan tetap sahaja.
Jelasnya, harga bagi pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah bermula daripada RM150 sehingga RM320 bagi satu sesi, manakala bagi urutan badan RM60 sehingga RM120.
“Bayaran tambahan turut dikenakan sebanyak RM50 ke RM80 untuk khidmat lain,” ujarnya.
Tambah Mohamad Farouk, kebanyakan wanita asing ini menyalahgunakan pas lawatan sosial dan terdapat juga yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.


































