SEOUL: Pelakon, Kim Ji Ho mendedahkan pernah berdepan detik cemas apabila mengalami kesan sampingan akibat prosedur kosmetik yang dilakukannya.
Menurut Utusan Malaysia, pelakon berusia 49 tahun itu berkongsi dalam Instagram, kejadian tersebut berlaku selepas beliau mengambil suntikan penggalak kolagen sebelum melakukan sesi fotografi dengan sebuah majalah tempatan.
“Saya bukanlah seorang yang rajin menjaga kecantikan, bahkan hanya beberapa kali mambuat urutan badan selepas aktif melakukan yoga.
“Mungkin disebabkan itu, saya berdepan banyak masalah (penampilan) lebih-lebih lagi sebelum mula bekerja selepas beberapa tahun berehat.
“Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk melakukan suntikan penggalak kolagen sebelum sesi fotografi. Bagaimanapun keadaan bertukar ngeri apabila muka saya menjadi bengkak selepas tiga minggu mengambil suntikan berkenaan,” kongsinya.
Pada masa yang sama, bintang filem Steel Rain itu juga mendedahkan berdepan pengalaman ngeri selepas mengambil suntikan botoks di bahagian dagunya.
“Saya tidak dapat menggerakkan separuh wajah saya dan kelihatan aneh ketika senyum.
“Saya dimarahi kerana malas menjaga penampilan dan melakukan semua prosedur berkenaan secara serentak.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana sesi fotografi tersebut berjalan lancar,” kongsinya.
































