KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjual ganja melalui Telegram sebelum dihantar menggunakan kurier dalam serbuan berasingan di Lembah Klang, Isnin lalu.
Tiga serbuan berasingan dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul yang menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 24 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya mendapati sindiket terbabit bergiat aktif di sekitar kawasan Sentul dan Dang Wangi.
Katanya, serbuan pertama dijalankan di sekitar Publika dekat sini dan menahan seorang lelaki berusia 20 tahun.
“Tangkapan itu membawa kepada serbuan kedua di Jalan Raja Chulan pada hari yang sama dengan menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 24 tahun di kawasan lobi sebuah premis pejabat di Jalan Raja Chulan di sini.
“Seorang daripada suspek dilihat memegang karung guni berisi 50 paket plastik lutsinar ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 5.26 kilogram (kg).
“Penahanan itu membawa kepada serbuan ketiga di kawasan tempat meletak kenderaan di premis sama terhadap sebuah kereta Mercedes Benz dan Nissan Almera,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Menurutnya, hasil maklumat daripada suspek-suspek ditahan telah membawa kepada serbuan keempat di premis pejabat di bangunan tersebut yang turut menemukan lima kotak berisi ganja dianggarkan berjumlah 19.12 kg.
Jelasnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek pertama mendapati positif dadah jenis THC.
“Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari sejak Selasa hingga hari ini. Bagaimanapun kita akan memohon sambung reman terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Ahmad Sukarno berkata, siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam aktiviti itu sejak empat bulan lalu.
Jelas beliau, sindiket itu dikesan menjalankan jual beli dadah melalui aplikasi Telegram sebelum membuat penghantaran menggunakan kurier.
“Semua dadah dijual dengan harga bermula RM200 hingga RM250 bagi satu paket. Pelanggan yang berminat akan membuat pesanan melalui kumpulan Telegram.
“Ketiga-tiga suspek saling mengenali sejak sekolah. Kita sedang mengenal pasti ahli sindiket lain yang terlibat dengan rangkaian ini,” katanya.
Tambahnya, jumlah rampasan dadah berjumlah 24.3 kg danggaran bernilai RM85,980 selain keseluruhan dadah itu boleh menampung penggunaan seramai 48,772 pengguna,” katanya.


































